15 Puisi Terbaik Karya A Samad Said

TaraHap - Berikut ini adalah 15 Koleksi Puisi Terbaik Karya A. Samad Said, Silakan Baca... 


15 Puisi Terbaik Karya A Samad Said

1. BUMI REZEKI

(Puisi A. Samad Said)

Tak betul biliona tergogok bantah kuasawan nan belolok. Sebab, jika itulah yang benar, mengapa dana tampaknya segar?

Sangat keruh hujah sang kuasa; terlalu arif berpantun lidah. Maka, yang luhur diheboh kotor; yang bening pula ditakbur tohor.

Bumi Cik Siti nafas rezeki minyak mengalir tanpa royalti. Cucu Tok Janggut saja ditekan; sesekali diberilah wang ihsan.

Iktisad bangsa sedang terluka; pintar dihias cantik gerafnya. Sebenar, titis peluh rahsia: Minyak Kelantan penyeri dana.



2. DI ATAS PADANG SEJARAH

(Puisi A. Samad Said)

Di dataran sejarah suara kita sesubur rumput, bisik kalbu bergaung garang tanpa resah tanpa takut. Lagu kita rindu demokrasi darjat awan tertinggi mengindah ufuk senja merai kemerdekaan diri.

Rumput di kaki, awan di kepala, gah iringi murba, seramainya, sederapnya, setulusnya, kita bersama menjulang panji negara, bangga dicium angin jati di tengah gelora kita sebangsa dan sejiwa murni.

Di atas padang sejarah pantang kita mungkiri janji setiap tapak dan langkah mengisi rindu demokrasi. Diri kita amat padu maruah senandung setulus hati melunturkan wewarna zalim, menyuburkan kuning berseri.

Kita tenaga jati gah berjuang demi keadilan; kita terbang sederas sinar julang panji kebenaran.



3. GEBENG YANG LUKA

(Puisi A. Samad Said)

Kita ghairah merubah sebanyak tanah bertuah konon demi rezeki alam dan udara kita. Kita sengaja terlupa tanah cicit yang syahdu, tuli akan senandung insan dan unggas nan merdu.

Dari denai ke rimba dan sungai ke samudera terdengar rintih ombak meraung bumi sejarah. Pernahkah kita bertanya pada Gebeng terluka bersyair, berpantun demi kebahagiaannya?

Kita hanya memacakkan gedung dan kilang zahir merela bumi Gebeng teracun beransur cair. Kita sedang alpa malah amat bangat terlupa harta terkini menutup masa depan yang lara.

Di sisi mewah harta cemar sejarah bermula, kita sedang memahat hikayat tragedi bangsa.



4. HIDUP BERSAMA

(Puisi A. Samad Said)

Kita sudah sampai di lereng amat indah, di bawah pelangi, dalam ufuk yang masih mencabar; dan kita ikhlas berjanji untuk bermaruah, tenang dalam segala uji cabar dan debar.

Kita mencari hanya yang tulen dan jati, sekata hidup, mengerti dan berbudi. Kita wajar mendaki lagi kerana puncak yang jauh.

Dalam gelora dan taufan tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan mengasuh kita bersuara dalam sopan, yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan, inti tunggak dan menara kebahagian.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia menyanyi sihat, teguh, bertekad dan berani. Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.

Tanah air akan indah, megah dan bermaruah jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah; dan bumi akan subur, makmur dan mewah jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita; kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.

Dan kita sudah sampai di lereng indah, pasti tetap mendaki juga, menyanggah musuh, menambah kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.

Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu, berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

Anak-anak kita bakal datang tangkas dan berilmu; dan kita, dalam sejarah, bakal syahdu dan bangga, kerana awan yang indah, lapis pelangi lebih mesra, wajah diri dan inti peribadi kita tunjang bagi kehidupan dan kemerdekaan bangsa yang sentiasa sedia belajar mengerti dan tekun hidup bersama.



5. JANJI DEMOKRASI

(Puisi A. Samad Said)

Malam amatlah indah walaupun qalbu masih terdera, kita terpaksa menyambut senyum demokrasi yang lara. Dataran Merdeka tak lagi dipupuk gah sejarahnya kerana tak digalak ia untuk lebih bersejarah. Kini di mana-mana sajalah Dataran Suara kita!

Angin sejarah yang tulen kini makin berhembus kencang mencanda panji negara yang berkibar girang dan garang; dan seragam gelombang kuning diri kita yang sejati menghimpun azam dan tekad untuk tulus damai berbakti, menjeritkan: Janji Demokrasi, ya, Janji Demokrasi!

Kita mulai dihindar untuk mengalir ke Dataran; di mana sajalah kini kita rai kemerdekaan. Kita enggan menjadi wira ciplakan di dalam mimpi. Kita laungkan jerit senyaringnya: "Janji Demokrasi!" sehinggalah janji itu turut menjeritnya sendiri!



6. KITA INI TETAMU SENJA

(Puisi A. Samad Said)

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah kita kepadaNya
Kita datang ini kosong tangan kosong dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada Tuhan kepada insan
Pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula kepada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah seluruh rasa belas

Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang sekali bawalah bakti padat berkat



7. LANGKAH LESTARI

(Puisi A. Samad Said)

Sejak subuh ini resah mendera qalbuku mendengar nafas bumi yang cuba syahdu.
Di tengah rimba aku tekun menyanggah lara, mewarisi setiap suara derita atau rianya.

Subuh ini seluhur tekad kupadu qalbu kerana terdengar rimba masih juga diganggu.
Dan walau anak rimba cuba tulus menyanyi taring haloba masih bengis menoda bumi.
Di mana lagi dapat kuhirup udara yang murni, setiap detik, dan serentak, terhidu elegi bumi?

Di sini dedaun bersyair kepada leluhurnya, bunga rimba cuba menari depan keluarganya.
Walau sungai serahsianya masih merdu mengalir, kembaranya tetap resah di sisi ikan yang getir.

Dan kita mula terdengar suara rindu abad lalu, menyerap gelak mewaras sedu, segala yang pilu.

Kita tidak akan rela berganjak mendakap alam khusus ketika ia sedang terus terdera kejam; kita tak rela dengar rintih rimba yang murung; atau menyerap tangis dedaun dan sedu burung.

Kita berazam cekal berlawan di qalbu rimba memanfaat setiap kitab lara dan buku sengsara.
Dan dengar sederap rentak dan sesyahdu suara kita tetap bertekad melindungi rimba terdera.
Kau yang pendera usah berhelah atau berpura kerana sedalam kuburmu rimba akan membela.



8. MEMURNI JANJI

(Puisi A. Samad Said)

Kudus lahir insan nan aneka menyantun diri sama sebati berganding azam mengisi cita membentuk bangsa kukuh dan murni.

Suburnya bumi indah abadi khazanah alam rezeki bangsa tangan dan peluh perkukuh diri cipta negara waja merdeka.

Landas hidup rakyat nan bersatu atas bumi nan subur rezeki sesama diri cekal berpadu meluhur jiwa memurni janji.

Bangsa yang kasih bumi warisnya menyubur benih jiwa bermaruah.



9. MERINDU RUANG

(Puisi A. Samad Said)

Bolehkah kita bercakap sejujur suara, bertanya: Ke mana semua unggas dan rerama yang damai menghuni taman yang indah ini?

Masihkah merbuk berdakap semerdu suara menghantar khabar merdeka dari insan waja meluhuri azam di ruang bebas ini?

Kita, suara tulus itu, baris insan padu merindu ruang yang syahdu, aksi juga kata, sejernih irama merdu di taman ini!

Berdiri kita setegap, bergerak sederap, meragut cengkaman kawat cekau berduri, dan kita berdiri nyanyikan demokrasi!

Ada sang perubah permainan; kami perubah kekuasaan. Inilah tekad generasi baru, akarnya keadilan syahdu.



10. MERINDUI BUKU

(Puisi A. Samad Said)

Inilah denai jejak seni ke hati, puncak fikir yang indah sekali, tanpa himpunan ilmu di kalbu buku kita tak sempat sampai ke mercu itu.

Di sini diri sen!asa di taman menikmati unggas dan puspa menawan; di sinilah vista buku saraf seni, meranum akal mematang peribadi.

Kita wajar berpesta di kalbu buku menghayati nikmatnya seindah syahdu dalam tenang waktu khusyuk di pustaka lebih cepat kita terasuh dewasa.

Buku adalah denyut nadi utama penting bagi minda waras manusia; dan buku juga gema fakir yang sakti, nyaman dan mesranya sebuah simfoni.

Kita memupuk insan yang luhur budi melalui tapisan hikmat berseni; dan buku memang tasik aneka ilmu yang perlu diselami sejujur kalbu.

Buku mengasuh diri sasa bersuara; membaca menjadi jambatan bertuah kita merindu buku dan ghairah baca agar sentiasa canggih dan berhemah.



11. PANTUN PILIHAN RAYA

(Puisi A. Samad Said)

Wikileaks jelir amat mengusik,
Si bukuqalbu, si bukuwajah;
diri yang murba damai di tasik
mula terimbas pilihan raya.

Dalam gelita digoogle fakta,
media perdana condong diri;
apa erti sms nan kaya
jika wang ihsan bukan royalti.

Anak merpati si anak merbuk,
mesra berkicau twitter indah;
pilihan raya jika menjenguk,
kempennya biar kerdip permata.

Nerda jantan Netbook di samping,
kerlipan carta tangga berwarna;
di dalam situs setulus kempen,
usah tetiba disimbah harta.

Zuckerberg si biliona muda
bakal ramaikah antara kita?



12. PEMIMPIN CATAKSERUKIN

(Puisi A. Samad Said)

Pemimpin catakserukin kenangannya rimba yang subur, renungannya tajam dan cekal ke pelabuhan termasyur.

Hatinya degupan yang sentiasa menjernihi qalbu, puncak hajat memurnikan darah wira yang lebih syahdu.

Wajib dibela nasib rakyat diurus seadil cantik, didengar rintih sedu mereka walau sesenyap bisik. Wajar turut disaksi bumi dan insan akrab berdakap di dalam sebuah negara yang dimegahi bersikap.

Diri pemimpin patut menjadi watak tunggal berdiri; tangan dan hatinya wajib seimbang memandu kemudi. Walau tak diperasan siapa yang beada di sisi, wajar dipantau rakyat yang disedari terketepi.

Pada akhir nafas dan zaman terharum bakti pemimpin waras diteliti tiap akhir abjad sumbangannya yang tulen. Tetap terdedah ghairah bakti atau hanya sesak sorak, semuai mana benih perjuangannya subur memuncak?



13. PUISI SERAM MALAM SUARAM

(Puisi A. Samad Said)

Di negara tak setara lima dekad usianya, rakyat terdera, malangnya, punya lidah yang kelu, kuping yang taat selalu.

Di negara tak setara tanpa nama nombor juga, usah bantah, patuh saja, kerat lidah, membisu, ya, lebih elok begitulah!.

Di negara tak penyegan samseng upah dimanjakan; di negara ketar kejut dalam kawal boleh maut, amat kacau, sungguh takut.

Oleh brim yang selesa di mulut pilihan raya usah tolak, telan saja, kerana tokoh bermewah bukan dari wang sakunya.

Jika cemar atau kasar, mungkin putar, malah pusar, usah pamer senyum hambar, yakin saja, jangan gusar, usah bantah, biar, biar!

Lima dekad usianya setengah abad cengkamnya. Cara mudah bahagia: Usah selar, patuh saja, mengapa begitu gila?



14. SENYUM DEMOKRASI

(Puisi A. Samad Said)

Di Dataran Merdeka ini kalbu kita syahdu bersepi, rindu kudus ke demokrasi, bisik luhur lidah nan wangi.

Di Dataran Merdeka ini azam tetap akar sejati, rindu murni ke demokrasi, hasrat kalbu gunung berseni.

Di Dataran Merdeka ini duduk bantah seluhur diri, sanjung kasih ke demokrasi, hajat bersih padu abadi.

Di Dataran Merdeka ini demokrasi senyum kembali!



15. TAPAK YANG LUHUR

(Puisi A. Samad Said)

Bertapak atas batas yang luhur bersumpah lidah sufi tersohor, disedarkannya lara bangsa waja dirangsang tepis membantah.

Awal lagi semangat bernyala dihembus bara merdeka bangsa. Pagi ke malam berjuang tegap di tengah rakyat gigih bersikap.

Bersilat atas bumi yang subur bisik bersikap qalbu sejujur menyala unggun zaman yang garang membakar tekad cekal berjuang.

Bersama bangsa bangkitlah ia tegas perkukuh asas merdeka.

LihatTutupKomentar